Istilah Linux atau GNU/Linux (GNU) juga digunakan bagi merujuk kepada keseluruhan edaran Linux yang selalunya disertakan perisian-perisian lain sekali dengan sistem pengendalian. Contoh-contoh perisian adalah seperti pelayan web, bahasa pengaturcaraan, pangkalan data, persekitaran desktop (seperti GNOME dan KDE), dan set pejabat seperti OpenOffice.org. Edaran-edaran Linux telah mengalami pertumbuhan yang pesat dari segi kepopularan, sehingga lebih popular daripada versi UNIX yang merupakan perisian hak milik dan mula mencabar dominasi Microsoft Windows dalam sesetengah perkara.
Linux menyokong sebahagian besar perkakasan komputer dan telah diguna di dalam pelbagai peralatan daripada komputer peribadi ke superkomputer dan sistem terbenam (seperti telefon bimbit dan perakam video peribadi Tivo).
Pada mulanya, ia dibangunkan dan digunakan oleh peminatnya sahaja. Kini Linux telah mendapat sokongan daripada syarikat-syarikat besar seperti IBM, dan Hewlett-Packard. Para penganalisa menujukan kejayaannya ini disebabkan ia tidak bergantung kepada vendor (vendor-independence), kos perkakasan yang rendah, dan kepantasannya berbanding versi UNIX proprietari, serta faktor keselamatan dan kestabilannya berbanding dengan Microsoft Windows. Ciri-ciri ini juga menjadi bukti kepada keberkesanan model pembangunan sumber terbuka
Sejarah
Kernel Linux pada awalnya ditulis sebagai hobi oleh pelajar universiti Finland Linus Torvalds yang belajar di Universiti Helsinki, untuk menyerupai kernel Minix yang bebas dan boleh sunting. (Minix adalah projek pelajaran menyerupai UNIX direka untuk mudah dan bukannya untuk kegunaan perniagaan.) Versi 0.01 dikeluarkan ke Internet pada September 1991, Versi 0.02 pada 5 Oktober 1991.
Berikutnya, beribu penulis perisian sukarelawan seluruh dunia telah menyertai projek ini. Lihat juga The Cathedral and the Bazaar, rencana terkenal mengenai model pembangunan kernel Linux dan atur cara seumpamanya.
Sejarah sistem pengendalian berasaskan Linux berkait-rapat dengan projek GNU, projek perisian bebas terkenal diketuai oleh Richard Stallman. Projek GNU bermula pada 1983 untuk membangunkan sistem pengendalian seperti UNIX lengkap — pengkompil, atur cara aplikasi, utiliti pembangunan dan seterusnya — dikarang sepenuhnya dengan Perisian Bebas. Pada 1991, apabila versi pertama kerangka Linux ditulis, projek GNU project telah menghasilkan hampir kesemua komponen sistem ini — kecuali kernel. Torvalds dan pembangun kernel seperti Linux menyesuaikan kernel mereka supaya dapat berfungsi dengan komponen GNU, dan seterusnya mengeluarkan sistem pengendalian yang cukup berfungsi. Oleh itu, Linux melengkapkan ruang terakhir dalam rancangan GNU.
Walaupun kernel Linux dilesenkan di bawah Lesen Awam Am GNU, ia bukannya sebahagian daripada projek GNU.
Tux, seekor Penguin, merupakan logo dan maskot bagi Linux. Linux adalah tanda dagangan (SN: 1916230) yang dimiliki oleh Linus Torvalds. Ia didaftar sebagai "Perisian sistem pengendalian komputer bagi penggunaan komputer dan operasi". Tanda dagangan ini diletak setelah berlaku suatu kejadian di mana seorang peguam bernama William R Della Croce Jr mula menghantar surat kepada para pengedar Linux yang mendakwa tanda dagangan Linux adalah kepunyaannya serta meminta royalti sebanyak 10% daripada mereka. Para pengedar Linux mula mengumpul sumber serta membuat rayuan agar tanda dagangan yang asal diberi kepada Linus Torvalds. Perlesenan tanda dagangan Linux sekarang dikendali oleh Linux Mark Institute.
Edaran Linux
Terdapat banyak edaran Linux (lebih dikenali sebagai distro), yang dibangunkan oleh individu, koperasi, dan pertubuhan lain. Setiap satunya mungkin disertakan dengan perisian sistem dan program aplikasi tambahan, di samping menyertakan suatu program yang memasang keseluruhan sistem dalam komputer baru.
Teras bagi setiap edaran Linux termasuk inti Linux, koleksi perisian daripada projek GNU (atau projek lain), cangkerang, dan atur cara utiliti seperti pustaka, pengkompil, dan penyunting teks. Kebanyakan sistem juga menyertakan atur cara dan utiliti yang bukan-GNU, bagaimanapun atur cara-atur cara tersebut boleh diasingkan dan masih menyediakan sistem ala UNIX. Beberapa contoh adalah atur cara dan utiliti daripada BSD dan X-Window System. X menyediakan antara muka pengguna grafik yang asas bagi sistem Linux.
Kebanyakan edaran Linux menyertakan pelbagai perisian berkualiti
Penggunaan Sistem Pengandalian Berasaskan Linux
Pengguna Linux, yang secara tradisinya perlu memasang dan melakukan tatarajah terhadap sistem sendiri, lebih cenderung terhadap teknologi berbanding pengguna Microsoft Windows atau Mac OS. Mereka sering mendapat gelaran "hacker" atau "geek". Bagaimanapun stereotaip begini semakin kurang dengan peningkatan sifat ramah-pengguna dan berleluasannya pengguna edaran Linux. Linux telah membuat pencapaian yang agak baik dalam pasaran komputer pelayan dan komputer tujuan khas. Contohnya, mesin render imej, dan khidmat web. Linux juga mula popular dalam pasaran komputer atas meja.
Linux merupakan asas kepada kombinasi perisian-pelayan LAMP, kependekan daripada Linux, Apache, MySQL, Perl/PHP/Python. LAMP telah mencapai populariti yang luas dalam kalangan pembangun Web.
Linux juga sering digunakan sebagai sistem pengendalian terbenam. Kos Linux yang murah memungkinkan penggunaannya dalam peralatan seperti Simputer, iaitu komputer kos rendah yang disasarkan pada penduduk berpendapatan rendah di negara-negara membangun.
Dengan persekitaran atas meja seperti KDE dan GNOME, Linux menawarkan antara muka pengguna yang lebih menyerupai Apple Macintosh atau Microsoft Windows daripada antara muka baris perintah seperti UNIX. Justeru itu, lebih banyak perisian grafik boleh didapati pada Linux, yang menawarkan kebanyakan fungsi yang ada pada atur cara dagangan.
Pemasangan
Proses pemasangan yang sukar sering-kali menjadi penghalang bagi pengguna baru, namun proses ini adalah lebih mudah hari ini. Dengan penerimaan Linux oleh beberapa pengeluar komputer peribadi terbesar, komputer yang disedia-pasang dengan edaran Linux boleh didapati. Terdapat juga edaran Linux yang membenarkan Linux dibut secara terus daripada Live CD tanpa perlu memasangnya ke dalam cakera keras. Contoh-contoh edaran Linux berbentuk Live CD adalah Knoppix/Gnoppix dan Gentoo. Imej ISO bagi CD untuk edaran Linux tersebut biasanya boleh dimuat turun daripada Internet, ditulis ke CD, dan seterusnya membutkan CD tersebut. Linux juga boleh dibutkan menerusi rangkaian, menerusi cakera liut, atau menerusi kad rangkaian.
Tatarajah
Tatarajah atau pentadbiran bagi kebanyakan tetapan Linux seringkali perlu dilakukan menerusi penyuntingan fail teks dalam direktori /etc. Terdapat juga atur cara seperti Linuxconf dan GNOME System Tools yang bertujuan memudahkan kerja ini dengan menyediakan antara muka grafik. Namun baris perintah merupakan cara paling lazim digunakan.
Pembekal komersil bagi edaran Linux secara umumnya mengamalkan model perniagaan dengan menyediakan sokongan. Sokongan parti ketiga juga sedia ada.
Sumber : Rujukan Bebas Internet (Google)
0 ulasan:
Post a Comment
Please Do Not Spam Here Moron. Everyone Welcome Here.